Sebelum ini, Itali menjadi sebuah negara yang paling terjejas akibat wabak pandemik, coronavirus serta merupakan negara Eropah pertama yang dijangkiti. Hal ini demikian kerana rakyat negara berkenaan mengabaikan segala langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan termasuk perintah berkurung. Tidak lama kemudian, kita dikejutkan dengan jumlah kes di Amerika Syarikat yang mencatatkan peningkatan secara mendadak sekaligus menjadi negara nombor satu dunia yang dijangkiti wabak berkenaan serta mengatasi Itali. Terkini, Itali telah mencatatkan sebanyak 197,675 kes dengan jumlah kematian sebanyak 26,644.
Semalam, Perdana Menteri Itali iaitu Giuseppe Conte telah mengumumkan pembukaan semula industri perniagaan dan pembuatan di negara tersebut pada 4 Mei manakala institusi pendidikan pula akan dibuka pada September. Adakah pengumuman ini menjadi petunjuk bahawa negara itu telah pun beransur pulih daripada penularan wabak COVID-19?
Namun begitu, isu tersebut tidak didedahkan secara terperinci. Menurut pemimpin negara berkenaan, langkah seterusnya bakal diumumkan pada awal minggu hadapan.
Walau bagaimanapun, hanya beberapa buah syarikat yang mengenakan langkah keselamatan dan pengawasan kesihatan yang ketat sahaja akan dibenarkan beroperasi semula. Tambahnya lagi, sektor perniagaan yang dianggap penting, melibatkan aktiviti eksport akan mula dibuka pada minggu hadapan.
Seterusnya, institusi pendidikan seperti sekolah dijangka bakal dibuka pada bulan September tetapi kajian tambahan menunjukkan bahawa risiko penularan masih berada di tahap yang tinggi. Sehingga kini, sesi pengajaran secara jarak jauh berjalan seperti biasa.
Persoalannya, adakah pembukaan semula ini bakal mengundang malapetaka yang lebih besar?