Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menamakan bekas pengerusi Federal Reserve, Janet Yellen sebagai calon untuk Setiausaha Perbendaharaan.
Sekiranya pencalonan beliau diluluskan oleh Senat, Yellen bakal menjadi wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan.
Pencalonan Yellen itu dibuat selepas negeri Arizona dan Winconsin secara rasminya mengesahkan Biden sebagai pemenang pilihan raya di kedua-dua lokasi terbabit.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump dijangka akan memfailkan tindakan undang-undang berhubung kiraan undian di kedua-dua negeri itu.
Yellen sebelum ini memang disebut-sebut oleh kebanyakan media sebagai calon untuk mengisi portfolio tersebut.
“Kita berdepan cabaran besar sebagai satu negara ketika ini. Untuk pulih semula, kita mesti mengembalikan rakyat Amerika – satu masyarakat yang di mana setiap orang boleh mencapai potensinya dan impian yang lebih besar untuk anak-anak mereka.
“Sebagai Setiausaha Perbendaharaan, saya akan bekerja setiap hari ke arah membina semula impian berkenaan untuk semua orang,” kata Yellen menerusi Twitter susulan pengumuman Biden semalam.
Wanita berusia 74 tahun itu telah berkhidmat sebagai ketua bank pusat Amerika dan penasihat kanan ekonomi kepada bekas Presiden Bill Clinton.
Sebagai pengerusi Federal Reserve, Yellen lebih dikenali atas peranannya memfokuskan lebih banyak perhatian pada kesan dasar bank kepada pekerja kos kenaikan ketaksamaan Amerika.
Namun Trump mengambil keputusan untuk tidak melantik Yellen bagi penggal kedua di Federal Reserve.
Sejak meninggalkan jawatan itu pada 2018, Yellen lantang menyuarakan pendapatnya mengenai perubahan iklim dan keperluan untuk Washington melakukan segala yang termampu bagi melindungi ekonomi AS daripada impak Covid-19.