Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam secara tiba-tiba meminta barisan pakar kesihatan untuk tidak menggunakan antiviral Remdesivir yang dibangunkan oleh Gilead Sciences dalam rawatan COVID-19.
Kumpulan pakar WHO Guideline Development menjelaskan tiada sebarang bukti yang menunjukkan ubat tersebut benar-benar berkesan terutama menyembuhkan pesakit dalam jangka masa pendek.
Dakwaan itu berdasarkan data baru yang diperoleh melalui pemerhatian perbandingan beberapa rawatan ubat antiviral termasuk data dari empat ujian rawak antarabangsa yang melibatkan 7,000 pesakit.
Kenyataan tersebut mengundang kekecewaan Gilead kerana penggunaan Remdesivir sepatutnya tiada sebarang masalah kerana memenuhi panduan dari pelbagai organisasi nasional termasuk National Institutes of Health and Infectious Disease Society Amerika Syarikat (AS), Jepun, UK dan Jerman.
Tidak cukup dengan itu, pakar kesihatan penyakit berjangkit AS, Dr. Anthony Fauci juga mengakui keberkesanan Remdesivir, menyifatkan penggunaannya sebagai rawatan standard baru ke atas pesakit COVID-19 dan telah digunakan untuk rawatan COVID-19 di hospital sekitar 50 negara.
Untuk pengetahuan, ubat tersebut juga merupakan antiviral yang digunakan bagi merawat jangkitan COVID-19 yang dihidapi Presiden AS, Donald Trump.
Jelas WHO lagi, susulan daripada keputusan yang negatif, pihak mereka menyokong ubat tersebut dinilai secara berterusan, turut memberi amaran mungkin penggunaan berterusan akan menimbulkan bahaya, termasuk pembiayaan dan sumber yang tinggi bagi pengurusan antiviral itu.