China bakal mengambil tindakan keras sekiranya semua wartawan negara itu dihalau keluar dari Amerika Syarikat (AS).
Menurut Ketua Editor Global Times, Hu Xijin, Beijing akan turut melakukan perkara yang sama termasuk menghalau wartawan AS di Hong Kong.
Berdasarkan ciapan Xijin di Twitter, AS dikatakan tidak memperbaharui visa kesemua wartawan China dan Beijing kini bersiap sedia sekiranya Washington menghalau mereka keluar.
AS mengehadkan tempoh visa untuk wartawan China selama 90 hari dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh visa terbabit, berkuatkuasa 11 Mei lalu.
Bagaimanapun, masih belum diketahui berapa ramai wartawan China yang terjejas ekoran arahan baharu itu.
Beijing sebelum ini telah menyekat operasi agensi berita AS iaitu New York Times, Wall Street Journal dan Washington Post tahun ini dan menghalau semua wartawan ketiga-tiga agensi berkenaan dari China.
Kedua-dua negara dilihat melancarkan ‘perang saraf’ membabitkan pengamal media sejak beberapa bulan kebelakangan ini. AS turut melabelkan media China sebagai ‘duta asing’.