Syarikat Spotify Technology SA, Match Group Inc dan Epic Games serta sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kaedah yang dilaksanakan oleh Apple di dalam gedung aplikasinya, App Store.
Apple mengenakan komisen antara 15-30% untuk aplikasi yang menggunakan sistem pembayaran dalam aplikasinya dan menetapkan peraturan yang ‘ketat’ terhadap semua aplikasinya dalam App Store, yang merupakan satu-satunya cara Apple membenarkan penggunanya memuat turun aplikasi khasnya ke peranti seperti iPhone.
Bagaimanapun, kaedah berkenaan telah mencetuskan kritikan dan aduan undang-undang rasmi daripada beberapa pembangun.
Kumpulan bukan berasaskan keuntungan, The Coalition for App Fairness yang berpangkalan di Washington dan Brussels mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendesak Apple untuk berubah. Selain Spotify, Epic dan Match, beberapa syarikat kecil lain termasuklah Basecamp, Blix, Blockchain.com, Deezer dan Tile bersama-sama beberapa pembangun dari Eropah seperti European Publishers Council, News Media Europe serta Protonmail.
Epic memfailkan saman terhadap Apple berhubung tuntutan antimonopoli di Mahkamah Persekutuan di California manakala Spotify turut melakukan tindakan sama di Kesatuan Eropah (EU).
Apple enggan memberikan sebarang komen namun firma itu semalam memberi penjelasan mengenai pendekatannya menerusi laman sesawangny. Tahun lalu, Apple telah menyekat 150,000 aplikasi yang melakukan pelanggaran privasi. Jelas Apple, dana yang dikumpul menerusi App Store telah membantu membiayai penciptaan sumber-sumber pembangun seperti 160,000 dokumen teknikal dan kod sampel untuk membantu pembangun membina aplikasi.