Presiden terpilih AS, Joe Biden dilaporkan akan mencalonkan bekas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan menggantikan Steven Mnuchin.
Ini akan menjadikan Janet Yellen sebagai wanita pertama dan pakar ekonomi serta bank pusat berpengalaman bagi menerajui pekerjaan yang membentuk dasar ekonomi utama negara.
Sekiranya beliau dilantik, ia akan membantu memacu ekonomi AS untuk pulih di tengah-tengah kebangkitan semula kes Covid-19 sehingga mendorong penutupan di beberapa negeri.
Selain itu, ia juga akan mengalihkan fokus Perbendaharaan ke arah usaha progresif untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi yang semakin meningkat dan memerangi perubahan iklim, jauh dari tekanan pentadbiran Trump untuk memotong cukai dan melonggarkan peraturan kewangan.
Sebelum ini, beliau juga pernah menggesa kerajaan untuk membuka pintu perbelanjaan fiskal yang lebih besar bagi membantu menamatkan kemelesetan mendalam disebabkan krisis Covid-19.
Pasaran menyambut baik berita mengenai pencalonan ini, di mana ia jelas ditunjukkan dengan peningkatan matawang utama dan ekuiti pada sesi Asia. Indeks saham penanda aras S&P 500 naik hampir 1% susulan berita mengenai rancangan Biden untuk melantiknya.