Pengeluaran perindustrian China menguncup dengan ketara dalam tempoh 30 tahun pada dua bulan pertama tahun ini berikutan wabak coronavirus yang melanda telah menjejaskan kebanyakan akiviti ekonomi di negara itu.
Keluaran industri dari ekonomi kedua terbesar dunia itu jatuh mendadak sebanyak 13.5% pada bulan Januari-Februari daripada pertumbuhan 6.9% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya dan jauh tersasar dari jangkaan untuk menurun 3.0%.
Ini merupakan bacaan paling lemah pertama yang pernah dicatatkan sejak Januari 1990 disebabkan penularan wabak COVID-19 yang telah mengakibatkan gangguan kepada perniagaan dan sekatan perjalanan.
Sementara itu, pelaburan dan jualan runcit pula jatuh mendadak buat pertama kali direkodkan, menguatkan lagi pandangan bahawa impak daripada wabak tersebut telah mengurangkan pertumbuhan ekonomi China pada suku pertama tahun ini.
Pelaburan aset tetap tahunan China menjunam sebanyak 24.5% kepada 0.33 trilion pada bulan Januari-Februari, daripada peningkatan 5.4% yang dicatatkan pada 2019.
Susulan daripada penutupan perniagaan dan perintah kuarantin yang dikeluarkan ketika jumlah kes dan angka kematian di China terus meningkat, bacaan jualan runcit yang lemah menunjukkan kesannya.
Jualan runcit menyusut 20.5% daripada pertumbuhan sebanyak 8.0% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, malah jauh tersasar daripada unjuran pasaran untuk menurun sebanyak 4.0%.
Minggu lalu, China memberitahu bahawa kemuncak kepada wabak COVID-19 di negara itu telah berlalu, namun penganalisis memberi amaran bahawa ia mungkin akan mengambil masa beberapa bulan sebelum ekonomi kembali normal.
Penularan wabak yang merebak dengan pantas di seluruh dunia telah mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan global sekali gus melemahkan lagi permintaan terhadap barangan dari China.