Rizab Persekutuan (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah tanda arasnya pada mesyuarat dasar minggu ini. Mesyuarat ini merupakan yang pertama diterajui oleh Pengerusi Fed yang baharu, Kevin Warsh. Tambahan pula, ditengah Amerika Syarikat terus berhadapan dengan tekanan kos sara hidup dan isu kemampuan kewangan yang meruncing.
Walaupun Warsh yang dicalonkan oleh Presiden Donald Trump sebelum ini membayangkan sedia memotong kadar faedah, namun kedudukan inflasi semasa yang melonjak dua kali ganda berbanding sasaran 2% mengubah unjuran pasaran. Pakar menilai Fed kini lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah bagi mengekang tekanan harga, sekali gus meletakkan Warsh dalam posisi berlawanan dengan kehendak Trump.
Bagi mengukur trajektori inflasi asas, Warsh menyatakan kecenderungannya untuk menggunakan metodologi “trimmed mean” berbanding data inflasi “teras” tradisional. Kaedah pilihan Warsh ini mengecualikan komponen barangan yang mengalami perubahan harga paling ekstrem atas faktor terpencil, yang mana metrik tersebut kini memaparkan trend penurunan unjuran dovish.
Tindakan mengekalkan atau menaikkan kadar faedah ini dijangka membebankan lagi kos pinjaman jangka pendek pengguna seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Matt Schulz daripada LendingTree mengingatkan pengguna agar bersedia berhadapan dengan persekitaran kadar faedah tinggi dalam tempoh yang lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini.
Kesan rantaian kos pinjaman ini dikhawatirkan mengukuhkan lagi corak pertumbuhan ekonomi yang menunjukkan jurang kemewahan isi rumah berpendapatan tinggi dan rendah semakin melebar. Ditambah pula dengan impak tarif dan perang dengan Iran, purata kos sara hidup isi rumah AS dilaporkan telah meningkat melebihi $3,100 bagi tempoh bermula 2025 sehingga Mei 2026.



















































