Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam rantaian bekalan kesihatan global ketika permintaan terhadap produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Kekuatan sektor pembuatan peranti perubatan, kemudahan infrastruktur bertaraf dunia serta keupayaan industri tempatan menjadikan Malaysia rakan strategik yang dipercayai dalam menghadapi cabaran geopolitik dan gangguan perdagangan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, prestasi eksport sektor kesihatan negara menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, eksport peranti perubatan Malaysia merekodkan nilai RM34.54 bilion dengan sarung tangan perubatan menyumbang lebih RM10 bilion, manakala produk jarum dan kateter mencatatkan hampir RM6 bilion.
Dalam sektor farmaseutikal pula, eksport meningkat sebanyak 20.6 peratus kepada RM3.66 bilion, mencerminkan pertumbuhan berterusan industri tersebut di pasaran global.
Pada masa sama, industri pelancongan kesihatan negara turut mencatatkan prestasi positif apabila menerima 1.84 juta pesakit antarabangsa yang menjana pendapatan sebanyak RM3.34 bilion sepanjang tahun lalu.
Bagi memperluaskan lagi pengaruh Malaysia dalam sektor kesihatan serantau, MATRADE akan mengetuai delegasi negara ke International Healthcare Week 2026 yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Center dari 8 hingga 10 Julai ini.
Penganjuran acara tersebut dijangka menghimpunkan kira-kira 950 pempamer dan 26,000 pelawat perdagangan dari seluruh dunia menerusi gabungan beberapa pameran utama industri kesihatan termasuk CPHI South East Asia, World Health Expo Bangkok, Medtec Southeast Asia dan Thailand Medical and Wellness Expo 2026.
Dalam perkembangan sama, MATRADE dan Informa Markets mengumumkan kerjasama strategik untuk membawa semula International Healthcare Week ke Kuala Lumpur pada tahun 2027.
Acara itu dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 13 hingga 15 Julai 2027 dan dijangka memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan serta teknologi perubatan utama di rantau ASEAN.



























































