Kerajaan dilihat komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tempoh pemulihan di bawah pelan Belanjawan 2021.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, langkah tersebut akan dilaksanakan menerusi usaha berterusan terhadap proses digitalisasi dan automasi, berdasarkan landasan yang ditetapkan oleh Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Geran Khas Prihatin (GKP) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bagi menggalakkan peralihan.
Selain itu, ujar Tengku Zafrul, kerajaan juga akan membantu PKS mempercepatkan penggunaan digitalisasi di bawah Belanjawan 2021, yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.
“Rekod menunjukkan peralihan penggunaan teknologi dan digital masih belum mencapai tahap maksimum dalam kalangan PKS.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa menerusi digitalisasi, PKS akan dapat memasuki pasaran yang lebih meluas serta bagaimana institusi kewangan kita boleh menyokong mereka dalam proses ini,” jelas Tengku Zafrul.