Seorang nelayan Indonesia yang sebelum ini diculik oleh kumpulan pemisah Abu Sayyaf di perairan Sabah pada Januari lalu, dilaporkan telah dibunuh di Patikul, Sulu, Filipina semalam.
Perkara itu disahkan oleh Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa Filipina.
“Benar, mangsa telah dibunuh. Insiden itu berlaku pada 28 September ketika misi menyelamat oleh tentera Filipina.
“Ketika misi tersebut, berlaku kejadian tembak menembak dengan kumpulan Abu Sayyaf dan mayat mangsa ditemukan semalam,” kata Ahmad Fuad kepada Bernama.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Laa Baa diculik bersama-sama empat orang nelayan lain di luar perairan Tambisan, Tungku.
Sementara itu, Ahmad Fuad berkata empat lagi mangsa iaitu Arsyad Dahlan, Riswanto Hayano, Edi Lawalopo dan Syarizal Kastamiran masih lagi berada dalam tahanan Abu Sayyaf.