Dolar greenback terus didagangkan di paras terendah 2 setengah tahun pada pembukaan sesi Asia hari ini ketika harapan pelabur terhadap lebih banyak langkah rangsangan AS akan dilancarkan dan proses vaksinasi yang bakal dimulakan di UK telah meningkatkan sentimen pasaran.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin mengatakan pada hari Rabu bahawa Presiden Donald Trump akan menandatangani cadangan rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai bila Trump akan menandatanganinya.
Mnuchin turut memberitahu bahawa beliau telah berbicara dengan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy pelosi dan menyatakan terdapat juga beberapa cadangan yang diusulkan oleh parti Demokrat dan Republikan.
Selain itu, pasaran juga menyambut baik berita yang mengatakan UK telah meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh Pfizer-BioNTech dan akan memulakan vaksinasi mereka secepatnya pada awal minggu depan.
Euro didagangkan menguat ke paras tertinggi lebih 2 tahun berbanding US dolar, didorong oleh optimisme bahawa Eropah mungkin akan meluluskan vaksin tidak lama lagi selepas UK, walaupun terdapat jangkaan Bank Pusat Eropah (ECB) akan meningkatkan pelonggaran kuantitatifnya minggu depan.
Matawang pound yang pada mulanya meningkat berikutan berita positif vaksin, jatuh ke paras terendah 3 minggu selepas ditekan oleh ketidakpastian mengenai rundingan perdagangan Brexit.
Dolar Kanada pula melonjak ke tahap tertinggi 2 tahun berbanding USD menyusuli peningkatan harga minyak dan prospek terhadap vaksin coronavirus yang telah menyokong sentimen pasaran.