Facebook Inc. membenarkan para pekerjanya untuk bekerja di rumah sehingga Julai tahun hadapan selain diberikan wang tunai sebanyak AS$1,000 bagi keperluan peralatan pejabat di rumah.
Menurut jurucakap Facebook dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah itu diambil selepas mengadakan perbincangan secara dalaman dan berpandukan garis panduan daripada pakar kesihatan serta kerajaan.
Tambah jurucakap itu, syarikat berkenaan akan terus dibuka namun dalam kapasiti yang terhad dalam tempoh dua bulan.
Bagaimanapun, beberapa lokasi cawangan Facebook di AS dan Amerika Latin tidak akan dibuka sehingga akhir tahun ini, susulan bilangan kes Covid-19 yang tinggi.
Selain Facebook, beberapa firma teknologi besar turut mengambil langkah sama, antaranya Google dan Twitter sejak bulan lalu.
Google membenarkan pekerjanya bekerja di rumah sehingga Jun tahun depan manakala Twitter menyarankan pekerjanya bekerja secara ‘remote’.
Kes Covid-19 di AS telah mencatatkan 4.89 juta kes dan merekodkan lebih 160,000 kematian sehingga kini.