Pasaran dikejutkan dengan ciapan di laman sosial ‘burung biru’, Twitter Presiden AS, Donald Trump di sesi New York berhubung pelaksanaan pakej rangsangan baru AS sehingga menjejaskan pasaran saham dan komoditi.
Dagangan logam kuning menjunam lebih rendah selepas Trump mengejutkan pelabur dengan menghentikan rundingan bersama Demokrat mengenai pakej rangsangan baru sekali gus mendorong lonjakan US dolar.
Spot emas diniagakan rendah dengan berlegar di sekitar harga $1,879 per auns, manakala niaga hadapan emas susut pada $1,883 per auns (jam 10 pagi waktu Malaysia).
Logam berharga itu pada mulanya melonjak lebih tinggi sehingga mencecah paras harga $1,920 per auns susulan ucapan Presiden Federal Reserve, Jerome Powell yang memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi AS akan merosot sekiranya penularan Covid-19 tidak terkawal dan menggesa supaya lebih banyak langkah rangsangan dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, harapan untuk lebih banyak bantuan kepada rakyat Amerika dan syarikat penerbangan yang bergelut akibat pandemik Covid-19 musnah setelah Trump menamatkan rundingan sehingga selepas pilihan raya presiden pada 3 November.
Emas cenderung untuk mendapat keuntungan daripada langkah-langkah rangsangan yang meluas memandangkan ia dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan matawang utama.
Indeks dolar pula didagangkan positif dengan mencatatkan peningkatan 0.2% pada 93.90 berbanding kebanyakan matawang utama.