Dagangan US dolar diangkat ketika peningkatan kes coronavirus di Amerika Syarikat terus melemahkan harapan untuk pemulihan ekonomi yang lancar, mengakibatkan pelabur beralih kepada aset lebih selamat.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama didagangkan stabil pada 97.22.
Laporan terbaru menunjukkan kes Covid-19 di Amerika Syarikat meningkat 39,103 dan 808 kematian, yang mana California dan Florida telah melaporkan lonjakan harian terbesar mereka.
Sementara itu, Gabenor New York, New Jersey dan Connecticut mengeluarkan perintah kepada pengunjung dari kawasan berisiko tinggi supaya dikuarantin terlebih dahulu selama 14 hari.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terbarunya, telah mengurangkan unjuran output global 2020 kerana impak pandemik terhadap ekonomi dilihat lebih besar daripada yang dijangkakan sebelum ini.
Pertumbuhan ekonomi global dijangka menyusut sebanyak 4.9% berbanding ramalan awal untuk penguncupan 3.0% pada bulan April setelah meneliti data baru yang terkesan oleh penutupan aktiviti ekonomi ketika sekatan dilaksanakan.
Turut menambah tekanan kepada matawang berisiko, terutamanya pound dan euro apabila Amerika Syarikat dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif baru ke atas barangan dari Eropah.
Dalam pada itu, pakar kesihatan UK memberi amaran kepada kerajaan mengenai risiko gelombang kedua penularan wabak coronavirus setelah Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan untuk melonggarkan sekatan di negara itu.
Di sisi lain, dolar Aussie didagangkan menyusut apabila Victoria, Australia terus mencatatkan penambahan kes coronavirus dengan 33 kes baru. Qantas Airline, syarikat penerbangan utama Australia dilaporkan akan mengurangkan sebanyak 6,000 pekerja untuk terus bertahan dalam menghadapi krisis ini.
Dolar kiwi pula terus diniagakan lemah berikutan sentimen semasa dan keterbukaan Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) untuk mengambil langkah rangsangan tambahan dalam berdepan pandemik.