Matawang itu kembali meraih peningkatan setelah Presiden AS Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif ke atas syarikat ByteDance yang memiliki TikTok dan Tencent, pemilik Wechat pada hari ini.
Dengan berkuatkuasanya perintah eksekutif itu dalam tempoh 45 hari lagi, sebarang transaksi yang melibatkan kedua-dua syarikat tersebut adalah dilarang sama sekali.
Dolar greenback kembali meningkat dari paras terendah 2 tahun dengan peningkatan 0.3% berbanding sekumpulan matawang utama kepada 93.09.
Ketegangan dua negara ini menambahkan lagi tekanan terhadap dagangan dolar Aussie yang telah dijejaskan oleh prospek pertumbuhan yang suram daripada Reserve Bank of Australia (RBA).
Dalam pada itu, US dolar mengukuh walaupun laporan pekerjaan NFP AS dijangkakan lebih rendah pada bulan Julai iaitu dengan peningkatan hanya 1.5 juta berbanding kenaikan sebanyak 4.8 juta sebelum ini.
Walau bagaimanapun, menurut penganalisis, jangkaan yang rendah ini boleh membawa kejutan kepada pasaran sekiranya terdapat peningkatan lebih besar dalam laporan pekerjaan NFP.
Kenaikan US dolar telah mendorong matawang euro jatuh dari paras ketinggian dengan diniagakan susut 0.3% pada $1.1845, selain ia turut dipengaruhi oleh peningkatan semula kes Covid-19 di Eropah.
Sementara itu, dagangan pound juga susut setelah meraih pengukuhan di paras tertinggi sejak Mac yang disokong oleh keputusan Bank of England (BOE) untuk tidak melaksanakan kadar faedah negatif.