Sentimen risk-on terus menghiasi pasaran pada sesi dagangan hari ini dengan matawang utama diniagakan meningkat setelah Presiden AS Donald Trump dibenarkan keluar daripada hospital pada Isnin.
Harapan bahawa Kongres AS akan mencapai kesepakatan terhadap rangsangan fiskal baru juga telah menyokong sentimen pasaran.
Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dan Speaker Dewan, Nancy Pelosi dilaporkan telah berhubung melalui panggilan telefon untuk membincangkan perkara itu. Kedua-dua pihak dikatakan akan terus berunding pada hari Selasa.
Dolar Aussie kekal diperdagangkan menguat menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) pada jam 11.30 pagi sebentar lagi. Walaupun RBA dijangka tidak akan menurunkan kadar faedahnya, namun ia mungkin akan memberi indikasi mengenai langkah yang bakal diambil bank pusat pada pertemuan seterusnya.
Sentimen positif dalam pasaran turut menyokong dagangan dolar kiwi, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden mengumumkan akan mengangkat sekatan di Auckland pada Rabu.
Sementara itu di Eropah, keyakinan pelabur terhadap rundingan perjanjian perdagangan Brexit terus mendorong dagangan matawang pound sterling untuk menokok lebih tinggi berbanding USD.
Pada Isnin, UK dan Kesatuan Eropah (EU) memulakan rundingan selama dua minggu dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan mengenai isu hak perikanan dan persaingan yang adil.
Selain itu, euro juga didagangkan tinggi berikutan kemerosotan US dolar ke paras terendah dua minggu ketika perkhabaran positif mengenai tahap kesihatan Trump telah menyokong sentimen terhadap matawang berisiko.