Penyusutan US dolar dari tahap tertinggi satu bulan dan berita mengecewakan mengenai usaha pembangunan vaksin yang terhenti telah mendorong dagangan logam berharga emas ke paras ketinggian satu minggu pada sesi New York.
Kenaikan diteruskan sehingga ke sesi Asia dengan didagangkan di sekitar harga $1,947 per auns, manakala niaga hadapan menokok pada $1,956 per auns (10.48 pagi waktu Malaysia).
Bagaimanapun, dengan sentimen bercampur-campur yang mempengaruhi pasaran ketika ini mungkin akan mengehadkan kenaikan bagi dagangan logam kuning itu untuk meningkat lebih tinggi.
US dolar menyaksikan penurunan semalaman setelah pasaran ekuiti AS mula mempamerkan pemulihan daripada penjualan besar-besaran saham teknologi sebelum ini.
Mesyuarat polisi ECB pada malam ini akan menjadi tumpuan utama pasaran yang menantikan kenyataan Presiden Christine Lagarde mengenai pandangan beliau terhadap prospek pemulihan ekonomi susulan pengukuhan matawang euro, di mana ia boleh mempengaruhi pergerakan USD.
Sementara itu, berita mengenai ujian klinikal vaksin Covid-19 oleh AstraZeneca yang dihentikan sementara secara tidak langsung telah menyokong dagangan emas berikutan kekhuatiran terhadap kemerosotan ekonomi yang mungkin akan berpanjangan sekiranya vaksin masih belum ditemui.