Jika anda bertanya, bagaimana keadaan jutawan dunia ketika pandemik COVID-19 menyerang – adakah mereka menerima kesan negatif atau sebaliknya, jawapannya..
YA. Mereka mengaut keuntungan tertinggi berjumlah $10.2 trilion.
Berdasarkan laporan bank Switzerland, UBS, kekayaan golongan jutawan seluruh dunia telah meningkat lebih 25% ketika kemuncak krisis pandemik sekitar April sehingga Julai.
Macam tidak masuk akal, tetapi golongan jutawan ini berani mati mempertaruhkan wang walaupun mereka juga terumbang-ambing untuk membeli lebih banyak saham syarikat ketika pasaran ekuiti seluruh dunia berada pada status kritikal gara-gara lockdown.
Maka tidak hairanlah sebaik sahaja pasaran saham global kembali pulih, jumlah keseluruhan kekayaan mereka telah melepasi rekod terdahulu pada akhir 2017 iaitu $8.9 trilion.
Jumlah jutawan juga turut mencatatkan rekod terbaru, meningkat dari 2,158 pada 2017 kepada 2,189 orang.
Jeff Bezos, individu terkaya di dunia mencatatkan peningkatan kekayaan sebanyak $74 bilion sehingga kini ekoran daripada lonjakan harga saham Amazon.
Manakala Elon Musk pula mengaut keuntungan tertinggi tahun ini dengan lonjakan dari $76 bilion kepada $103 bilion.
Walau bagaimanapun, pengarah eksekutif High Pay Centre, Luke Hilyard menyifatkan fenomena ‘yang kaya semakin kaya’ bukanlah satu perkara yang positif kerana ia membawa maksud sistem kapitalisme tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.
Namun, mereka tidaklah mementingkan diri sendiri. Golongan jutawan juga banyak menyalurkan keuntungan mereka dalam usaha menangani wabak COVID-19 dan membantu ekonomi penduduk yang terkesan.
Rekod pada Mac sehingga Jun, mencatatkan seramai 209 jutawan telah menyalurkan sumbangan yang keseluruhannya berjumlah $7.2 bilion.
98 jutawan dari Amerika Syarikat (AS) menyumbangkan $4.5 bilion, 12 jutawan dari China pula menyumbangkan sebanyak $679 juta dan dua jutawan dari Australia menderma sebanyak $324 juta. Berbeza pula United Kingdom (UK), walaupun 9 jutawan tampil menderma, jumlah keseluruhan sumbangan itu sekadar $298 juta, paling sedikit diantara negara yang terlibat.