Harga emas kembali diniagakan di atas $1,700 pada dagangan awal minggu selepas Senat Amerika Syarikat meluluskan pakej rangsangan bernilai $1.9 trilion, sekali gus melonjakkan daya tarikan emas sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Pada hari Sabtu, Senat AS telah meluluskan pakej rangsangan Presiden Joe Biden dengan undian yang sangat sengit setelah lebih 24 jam membahaskan undang-undang dan pindaan terhadapnya.
Pakej rangsangan tersebut merangkumi pembayaran langsung $1,400 untuk setiap warganegara yang memenuhi syarat, $300 setiap minggu bagi faedah pengangguran sehingga September, serta peruntukan untuk negeri, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Walau bagaimanapun, dengan lulusnya pakej rangsangan yang besar oleh kerajaan, ini juga bermaksud hasil perbendaharaan AS 10 tahun turut meningkat.
Peningkatan ini telah membataskan kenaikan harga emas daripada meningkat lebih tinggi, menyebabkannya didagangkan di sekitar paras harga $1,705 per auns ketika pasaran menuju ke pembukaan sesi Eropah (2.30 petang waktu Malaysia).
Terdahulu, logam berharga itu telah jatuh ke paras terendah sembilan bulan pada $1,687 per auns, setelah menyaksikan bacaan data pekerjaan NFP yang jauh lebih kuat daripada jangkaan pasaran.