Canselor Jerman, Angela Merkel dilaporkan memaklumkan kepada para pegawai bahawa pengurusan pandemik di negara itu telah ‘hilang kawalan’ dalam mengendalikan krisis coronavirus.
Merkel mengatakan bahawa potensi ancaman dari varian virus yang lebih cepat merebak, akan menyebabkan Jerman dalam risiko dan keadaan ini boleh menjadi lebih buruk dalam beberapa minggu akan datang.
Situasi ini boleh memberi tekanan buat dagangan matawang euro yang telah pun dihimpit oleh bacaan data ekonomi yang mengecewakan disebabkan sekatan coronavirus di Zon Eropah dan juga kelewatan dalam pengagihan vaksin oleh AstraZeneca.
Apa yang membimbangkan adalah, sekatan lebih ketat mungkin akan dilaksanakan memandangkan Merkel juga turut memberitahu rakan-rakannya mengenai perihal ini.
Malah, pembukaan semula perniagaan pada pertengahan Februari dikhuatiri tidak akan dilakukan, dan mungkin sekatan perjalanan pula akan dilaksanakan lebih ketat.
Kenyataan tersebut adalah sesuatu yang perlu diperhatikan oleh para pelabur, sekiranya situasi virus bertambah buruk, Jerman mungkin akan terus memperpanjangkan sekatan yang lebih ketat hingga bulan Mac atau April.
Ketika penulisan, matawang euro susut lebih rendah ketika sesi Eropah bermula disebabkan pengukuhan US dolar yang disokong oleh ketidakpastian mengenai langkah rangsangan AS akan dapat dilaksanakan secepat mungkin.