Pembaca Intraday pasti sedar dalam kebanyakan artikel kripto yang dimuatnaik, pasti ada perkataan ‘dApps’ atau aplikasi desentralisasi.
Tahu tak apa itu dApps?
dApps atau aplikasi desentralisasi merujuk kepada aplikasi digital atau program yang wujud sebagai sumber terbuka di blockchain atau rangkaian peer-to-peer (P2P).
Ia menggabungkan kontrak pintar dengan antara muka bahagian hadapan pengguna (frontend user interface).
Sama seperti aplikasi tradisional yang beroperasi di rangkaian tunggal cuma ia tidak dikawal oleh mana-mana entiti kerana bersifat desentralisasi.
dApp membuka ruang kepada pengguna untuk membuat sebarang perubahan terhadap perisian menggunakan mekanisme konsensus.
Bayangkan seperti Wikipedia di mana penyumbang-penyumbang maklumat di dalamnya boleh mengubah isi kandungan sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya sahaja.
Kebaikan dApps:
- Rangkaian menjadi kalis daripada pengawalan pihak berkuasa atau kerajaan.
- Tiada tempoh terhad di mana sistem P2P memastikan dApps terus beroperasi.
- Selagi blockchain dibangunkan oleh kontrak pintar, ia boleh integrasikan matawang kripto di dalam fungsi asas dApp.
Kelemahan dApps:
- Memandangkan ia berkaitan dengan kontrak pintar sumber terbuka, ia agak mudah untuk digodam.
- Kebanyakan dApps memiliki antara muka pengguna yang lemah menyebabkan pengguna kurang menggemarinya.
- dApps bergantung dengan jumlah pengguna yang mana semakin tinggi penggunaannya, semakin efektif ia berfungsi. Ia digelar sebagai ‘network effect’.
Ketika artikel ini ditulis, sebanyak 2614 dApps telah dibangunkan di pelbagai rangkaian termasuk Ethereum, EOS, Tron, dan NEO. Tetapi kebanyakan dApps sudah tentu dibangunkan di Ethereum kerana rangkaian ini sejak awal lagi menyediakan sokongan kontrak pintar.
Jenis dApps yang paling terkenal buat masa sekarang ialah pertukaran kripto desentralisasi (DEX) seperti Uniswap, SushiSwap, dan DODO, serta permainan video: Axie Infinity.
Dapps boleh dianggap berada di fasa awal perkembangannya. Mungkin pada masa akan datang, ia mampu mendahului teknologi ketika ini menjadi pilihan kebanyakan pembangun aplikasi.