Amerika Syarikat tidak akan meningkatkan hubungannya dengan China sehingga Beijing menghentikan paksaan ekonominya terhadap Australia, kata seorang pegawai kanan White House.
Penyelaras Indo-Pacific, Kurt Cambell mengatakan pentadbiran Presiden Joe Biden telah memberitahu kerajaan China bahawa Amerika akan terus memberi sokongan buat Australia.
AS juga dikatakan tidak bersedia untuk memperbaiki hubungan dalam konteks dua hala dan terpisah pada masa yang sama ketika sekutunya yang terdekat berada di bawah tekanan paksaan ekonomi.
Ini adalah campur tangan pertama yang dibuat oleh AS untuk mengambil langkah-langkah penting bagi menyokong Australia dalam pertikaiannya dengan Beijing.
Terdahulu, Pentadbiran Presiden Xi Jinping telah mengenakan larangan perdagangan dan tarif terhadap barangan eksport Australia yang bernilai sekurang-kurangnya $20 bilion ke China.
Malah, baru-baru ini juga, kedutaan China di Canberra mengancam bahawa hubungan China-Australia akan terjejas lebih teruk setelah Australia memberikan visan kepada seorang ahli politik pro-demokrasi Hong Kong, Ted Hui Chi-Fung.
Pendekatan yang diambil oleh pentadbiran baru ternyata berbeza dengan pentadbiran Donald Trump terdahulu, yang mana Biden lebih mengambil kira keutamaan sekutunya dalam perdagangan dan urusan lain dengan Beijing.
Setakat ini, Biden masih mengekalkan semua tarif dan sekatan lain yang dikenakakan oleh Trump kepada China. Biden sebelum ini pernah memberitahu abhawa beliau akan berunding dengan sekutu AS di Asia dan Eropah sebelum membuat keputusan mengenai sekatan China.