Pasti ada segelintir pelabur kripto yang sedang panik melihat pasaran sedang susut teruk!
Berdasarkan data oleh Bybt, pada hari ini sahaja lebih $2.4 bilion Bitcoin, Ethereum (ETH), XRP dan kripto lain telah dicairkan di pertukaran.
Ia direkodkan selepas BTC susut ke paras terendah harian $32,850 sekitar jam 11 pagi tadi waktu tempatan.
Ekoran daripada fenomena ini, penganalisis dan pelabur kripto, Lark Davis memberi amaran kepada seluruh komuniti kripto untuk tidak termakan dengan umpan crypto whales ketika Bitcoin (BTC) susut di paras $35,000.
Menurut Davis, ketika ini pemegang besar Bitcoin sedang memanfaatkan penyusutan harga raja kripto dan berharap pelabur runcit menjual BTC mereka.
“Pemain yang kaya dan berkuasa bijak memanipulasi pasaran. Ketika pasaran jatuh, mereka akan merampas Bitcoin ketika anda membuat panic selling pada penyusutan 10%. Dan harga akan melonjak dan perkara yang sama akan berulang.” katanya.
Bitcoin pernah susut sehingga 30% atau lebih beberapa kali pada 2017 ketika menuju all-time high (ATH) $20,000.
Ketika ini raja kripto sedang mencatatkan harga yang tidak menentu, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis.
Buat masa sekarang BTC didagangkan pada $35,409, susut 15% daripada ATH $42,000 yang direkodkan pada Jumaat lalu.