Britain bersedia untuk menangguhkan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) secara sepihak, menurut Menteri Brexit UK, David Frost pada Isnin.
Beliau memberitahu House of Lords, bahawa EU harus menerima cadangan UK untuk merundingkan semula sebahagian daripada protokol Ireland Utara secara serius jika ingin mencegah keruntuhan dalam kesepakatan ini.
Bekas ketua perunding Brexit itu mengatakan blok itu akan melakukan kesilapan besar jika mereka berpendapat bahawa UK tidak akan menggunakan perlindungan Artikel 16, yang memungkinkan kedua-dua pihak menangguhkan perjanjian tersebut jika ia menimbulkan kesan negatif.
Ketika bercakap di hadapan penggubal dasar yang lain, beliau dengan tegas mendesak EU supaya memandang serius tentang perkara ini sebelum mereka menggunakan perlindungan tersebut untuk menangani situasi ini.
Kerajaan akan mengesahkan pada hari ini, sama ada mereka akan menunda pengenalan pemeriksaan import barang dari EU hingga tahun depan untuk mengelakkan berlaku kekurangan bekalan menjelang perayaan Krismas.
Terdahulu, UK telah menuntut perubahan besar dan signifikan dalam protokol tersebut yang telah menyebabkan gangguan perdagangan dalaman antara Britain dan Ireland Utara dengan merundingkan semula perjanjian itu.
Bagaimanapun, permintaan itu telah ditolak oleh EU dengan mengatakan protokol tersebut adalah bahagian tetap dari perjanjian yang dipersetujui oleh UK dan EU. Kedua-dua pihak secara undang-undang, terikat untuk memenuhi tanggungjawab di bawah perjanjian tersebut.