Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani perintah eksekutif untuk membuka semula pendaftaran Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik (ACA) atau lebih dikenali sebagai Obamacare selama tiga bulan.
Menurut Biden, berikutan situasi pandemik Covid-19 yang sedang berlaku, ini merupakan waktu yang sesuai untuk mengembalikan akses program perkhidmatan kesihatan dan mampu milik.
Selain itu, Biden juga mengarahkan agensi-agensi tertentu untuk meneliti semula polisi yang berkemungkinan mengurangkan perlindungan dalam program penjagaan kesihatan Medicaid untuk golongan berpendapatan rendah.
Arahan itu termasuklah meneliti langkah yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Trump yang membenarkan negeri-negeri untuk mengenakan syarat-syarat ketat kepada pemohon bantuan.
Biden turut mengarahkan penelitian semula polisi yang membebankan untuk pesakit yang telah mempunyai penyakit dan sebarang langkah yang menjejaskan pasaran insurans atau pendaftaran insurans Persekutuan.
“Hari ini, saya akan menandatangani dua perintah eksekutif yang secara asasnya, cara terbaik untuk menjelaskannya adalah memulihkan semula kerosakan yang dibuat oleh Trump.
“Tiada perkara baharu yang kami lakukan selain daripada mengembalikan semula ACA dan Medicaid sewaktu sebelum Trump menjadi Presiden,” ujar Biden.
Dalam pada itu, Speaker Dewan Perwakilan Demokrat, Nancy Pelosi memuji tindakan Biden itu.
“Kami sangat gembira dengan langkah tersebut kerana kita berada di tengah-tengah pandemik dan kami melihat ini merupakan soal hidup dan mati,” kata Pelosi.
Sebelum ini, di bawah pentadbiran Donald Trump, tempoh pendaftaran hanya dijalankan selama enam minggu.