Baru sebentar tadi Cardano (ADA) mencipta rekodnya tersendiri, didagangkan pada nilai tertinggi sepanjang masa (ATH), $2.54.
Secara tidak langsung mempamerkan pergerakan bullish bagi ADA sejak 20 Julai, yang mana ketika itu nilainya cuma $1.01 sebelum membuat lonjakan hampir 151% tengah hari ini.
Faktor utama yang menyumbang kepada pergerakan positif ADA tidak lain tidak bukan pelancaran kontrak pintar di penghujung hard fork Alonzo.
Dijangka kontrak pintar di Cardano akan dilancarkan pada 12 September melalui program penggabungan hard fork (HFC).
Fungsi kontrak pintar sebenarnya membantu Cardano untuk bergabung dengan lebih banyak aplikasi, termasuk platform kewangan desentralisasi (DeFi) yang terkenal dengan fungsi pinjaman matawang kripto secara automatik.
Boleh dikatakan selain Ethereum (ETH), Cardano juga tidak ketinggalan menjadi buruan pelabur sejak Alonzo mula bersiaran dengan Alonzo Blue pada 27 Mei.
Penganalisis mengandaikan sebaik sahaja kontrak pintar dilancarkan ia akan bersaing hebat dengan beberapa rangkaian lain termasuk Ethereum, Solana (SOL) dan Binance Smart Chain (BSC).
Berbaki kurang daripada empat minggu lagi sebelum 12 September, tidak mustahil ADA mampu cipta satu lagi rekod baru ATH. Kali terakhir ADA merekodkan ATH ialah pada 16 Mei dengan nilai $2.46.