Aplikasi yang tengah hangat ketika ini, Clubhouse dilaporkan didakwa telah disekat oleh kerajaan China.
Clubhouse yang digunakan oleh golongan terkemuka seperti ahli politik, selebriti dan malahan pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg, telah menyaksikan popularitinya melonjak di China sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Aplikasi yang hanya boleh didaftar menerusi secara undangan itu menerapkan konsep perbincangan secara audio dalam kalangan pengguna berbanding kebanyakan platform media sosial ketika ini.
Tidak seperti kebanyakan aplikasi buatan China, Clubhouse adalah lebih terbuka dan pelbagai topik yang jarang dibincangkan boleh dibahaskan dalam platform terbabit.
Menurut beberapa wartawan BBC, mereka menemukan kumpulan perbincangan yang disertai oleh ribuan pengguna dari China dan Taiwan, membincangkan mengenai pelbagai topik sensitif.
Antaranya, isu Beijing mendakwa Taiwan sebagai sebahagian jajahannya; penindasan etnik Islam Uighur di Xinjiang serta dasar kontroversi di Hong Kong.
Menurut penganalisis media China, Kerry Allen, Clubhouse akan mencetuskan ‘kebimbangan’ kepada pihak berkuasa China yang selama ini begitu tegas mengawal apa jua kandungan aplikasi di negara itu.
Sejak semalam, lebih 100,000 pengguna di aplikasi Weibo mendakwa akaun Clubhouse mereka telah disekat.
Disebabkan populariti aplikasi terbabit dan hanya boleh didaftar secara undangan, banyak pihak mengambil kesempatan untuk menjual ‘undangan’ berkenaan.
Di Malaysia, ada segelintir pihak yang menjual undangan tersebut sehingga RM60 di laman sesawang Shopee.
Menurut Financial Times, undangan itu dijual setinggi AS$77 di luar negara.