Penurunan harga emas kelihatan semakin parah ketika logam berharga itu kembali menyusuri jalan yang berliku menjelang dagangan penghujung minggu.
Emas jatuh lebih rendah di sekitar paras harga $1,773 per auns, disebabkan lonjakan dalam hasil perbendaharaan ke paras tertinggi terbaru satu tahun sekali gus membantu menaikkan dagangan dolar greenback.
Bon 7 tahun bernilai $62 bilion pada 1.19% berbanding 1.14% yang dilelong pada sesi New York, telah mendorong lonjakan hasil bon 10 tahun ke 1.6%, iaitu tahap paling tinggi pernah dilihat sebelum krisis pandemik melanda Amerika.
Ini memberi kekuatan buat dolar greenback untuk kembali meningkat berbanding kebanyakan matawang utama.
Bukan sahaja emas jatuh, tetapi pasaran saham AS juga turut menjunam sama. Indeks saham Dow Jones dilaporkan merosot lebih 1%, sementara Nasdaq pula turun 3% disebabkan peningkatan dalam hasil bon menyebabkan timbulnya kebimbangan terhadap inflasi.
Selain itu, data AS yang diterbitkan pada hari Khamis juga tidak dapat membantu dagangan logam safe-haven ini. Laporan tuntutan pengangguran mingguan menunjukkan penurunan mendadak pada minggu lalu.
Sementara data Keluaran Dalam Negara Kasar AS (KDNK) pada suku keempat dilaporkan meningkat 4.1%, tetapi lebih perlahan daripada dijangkakan.