Harga emas sedikit meningkat pada hari Rabu berikutan penyusutan hasil perbendaharaan AS 10 tahun ke paras terendah satu minggu pada 1.60%.
Hasil bon AS 10 tahun merosot setelah Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell memberitahu penggubal undang-undang pada hari Selasa, bahawa beliau menjangkakan peningkatan inflasi hanya sementara.
Walaupun hasil bon yang selama ini menyokong kenaikan US dolar susut, tetapi raja matawang itu meraih kekuatan sebagai safe-haven disebabkan sentimen berisiko dalam pasaran.
Kebimbangan terhadap gelombang ketiga coronavirus di Eropah kembali menghantui pasaran selepas Jerman dan Perancis melanjutkan lockdown sehingga bulan April, sementara Itali pula memperkenalkan langkah sekatan baru.
Ketika pasaran menuju pembukaan sesi Eropah, spot emas diniagakan berlegar di sekitar harga $1,730 per auns. Sementara niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,729 per auns (2.30 petang waktu Malaysia).
Bagaimanapun, peningkatan yang dicatatkan dagangan emas terbatas disebabkan pengukuhan US dolar di sekitar paras ketinggian 3 bulan berbanding kebanyakan matawang utama.
Sekiranya USD terus menguat, ia mungkin berpotensi untuk menekan nilai emas semasa ke paras lebih rendah.