Calon Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen dijangka akan menegaskan komitmen Amerika Syarikat terhadap kadar pertukaran asing yang ditentukan oleh pasaran, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Janet Yellen juga akan menjelaskan bahawa AS tidak mencari dolar yang lebih lemah untuk kelebihan perdagangan yang kompetitif, lapor media itu lagi, memetik kenyataan pegawai peralihan Biden yang terlibat dengan persiapan untuk pengesahan jawatan.
Bekas Pengerusi Federal Reserve (Fed) itu dijadualkan untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kewangan Senat di Capitol Hill pada hari Selasa.
Beliau dijangka mendapat pengesahan sebagai Setiausaha Perbendaharaan AS dengan mudah oleh Senat pada hari esok, sehari sebelum Presiden Joe Biden mengambil alih White House secara rasmi pada Rabu.
Sekiranya disoal mengenai dasar pertukaran dolar, Yellen bersedia untuk mengatakan, “Nilai US dolar dan matawang lain harus ditentukan oleh pasaran. Pasaran menyesuaikan diri untuk mencerminkan variasi prestasi ekonomi dan secara amnya memudahkan penyesuaian dalam ekonomi global”.
Tambahan daripada itu, Yellen bakal memberitahu bahawa “Amerika juga tidak mencari dolar yang lebih lemah untuk mendapatkan kelebihan daya saing dan kita harus menentang percubaan negara lain untuk melakukannya”, lapor WSJ.