Komoditi hitam kekal didagangkan positif ketika pasaran menuju penghujung minggu, setelah mencatatkan kenaikan mingguan lebih 6% selepas disokong oleh prospek permintaan minyak yang lebih baik serta pemulihan ekonomi yang kuat di China dan Amerika Syarikat.
Dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan kukuh di sekitar paras tertinggi 4 bulan pada $63.57 setong, sementara niaga hadapan minyak mentah Brent pula menokok pada $67.06 setong.
Walaupun dihimpit kebimbangan terhadap peningkatan kes coronavirus dan kelewatan dalam pelancaran vaksin di beberapa negara, tetapi faktor-faktor yang positif pada minggu ini telah menyokong dagangan minyak mentah.
Bacaan data bekalan minyak mentah yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) dan Institut Petroleum Amerika (API) minggu ini, masing-masing menunjukkan penurunan ketara, menandakan permintaan minyak mentah terus pulih.
Sementara unjuran OPEC terhadap permintaan minyak mentah global yang semakin meningkat turut mendukung pengukuhan komoditi ini.
Turut menambah dorongan buat dagangan minyak adalah apabila dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat dan China menunjukkan pemulihan yang kuat dalam aktiviti ekonomi pada suku pertama tahun ini.