Pengerusi Federal Reserve (The Fed), Jerome Powell dilaporkan telah berjumpa dengan CEO Coinbase, Brian Amstrong pada 11 Mei lalu.
Pertemuan secara bersemuka antara dua figura berlaku beberapa hari sebelum The Fed mengumumkan white paper berkaitan rancangan terhadap penubuhan matawang digitalnya.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak memberi sebarang komen lanjut.
Adakah pertemuan ini memberi petanda yang baik?
Powell merupakan antara individu yang tidak bersetuju dengan idea matawang kripto. Figura ini juga pernah mengkritik ketidakstabilan harga kripto dan teknologinya yang menyebabkan terhakisnya kemampuan negara untuk menjalankan kawalan penyeliaan.
Namun individu ini tidak teragak-agak dalam pembangunan dolar digital atau matawang bank pusat (CBDC) dan potensinya terhadap ekonomi AS. Buat masa sekarang, CBDC di negara itu masih di peringkat terlalu awal dan mereka tidak mahu kalah ditandingi kemajuan China.
Powell turut mengadakan pertemuan secara maya bersama perintis Digital Dollar Project, merangkap bekas pengerusi Commodity Futures Trading Commission (CFTC), Christopher Giancarlo keesokannya pada 12 Mei.
Barangkali pertemuan itu melibatkan isu berkaitan dengan dolar digital memandangkan AS sudah mula memfokuskan kepada sektor kewangan digital.