Dolar New Zealand diperdagangkan lebih tinggi pada permulaan sesi Asia hari ini yang dipacu oleh jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah yang semakin meningkat.
Terbaru, ASB Bank meramalkan Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) akan meningkatkan kadar faedahnya pada bulan November 2021 dan mengatakan data tinjauan hari ini menunjukkan bahawa bank pusat tidak sabar menunggu untuk menaikkan kadar.
Hal ini telah mendorong dolar kiwi untuk melonjak 0.3% berbanding US dolar dan matawang yen Jepun pada awal sesi Asia.
Data tempatan dari NZIER Quarterly Survey of Business Opinion (QSBO) menunjukkan peningkatan mendadak dalam keyakinan dan permintaan perniagaan dalam perniagaan syarikat sendiri, dengan permintaan pembinaan yang kuat meningkatkan keyakinan pada sektor pembangunan, sementara perusahaan meningkatkan pengambilan pekerja dan pelaburan.
Susulan itu juga, Australia and New Zealand Banking Group (ANZ) turut melihat bahawa bank pusat akan meningkatkan kadar faedah yang lebih cepat berbanding jangkaan awal untuk kenaikan pada Februari 2022.
Mesyuarat polisi yang akan berlangsung pada minggu depan (14 Julai) akan menjadi tumpuan utama pelabur untuk mendapatkan petunjuk lebih jelas daripada RBNZ mengenai pandangannya terhadap dasar monetari semasa.
Sementara itu, pergerakan mendatar dolar greenback turut menyokong dolar New Zealand untuk didagangkan lebih kuat. Pasaran kini menantikan penerbitan data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang akan dikeluarkan pada malam ini.