Dolar loonie gagal mengekalkan pengukuhan dengan kembali didagangkan lemah pada pembukaan dagangan awal minggu.
Terdahulu, matawang komoditi itu telah mendapat sokongan daripada bacaan data pekerjaan Kanada yang jauh lebih kukuh daripada dijangkakan pada bulan November.
Data yang diterbitkan pada Jumaat lalu, menunjukkan pertambahan pekerjaan sebanyak 153,000 daripada 31,200 yang direkodkan sebelumnya. Bacaan ini juga mengalahkan jangkaan untuk meningkat hanya sebanyak 35,600.
Sementara kadar pengangguran pula turun kepada 6% daripada 6.7% sebelumnya, iaitu tahap terendah pernah dicatatkan sebelum pandemik Covid-19 bermula.
Bacaan yang memberangsangkan ini telah memberi sokongan buat dagangan dolar loonie untuk meningkat ketara, selain turut didorong oleh penurunan US dolar akibat laporan pekerjaan NFP yang meleset dari ramalan.
Namun, pengukuhan tersebut gagal bertahan, menyaksikan dolar loonie kembali diniagakan di sekitar paras terendah tiga bulan berbanding greenback. Pada sesi Eropah, loonie diperdagangkan 0.14% lebih rendah di sekitar harga 1.2825.
Ini mungkin disebabkan oleh USD yang kembali kuat berikutan jangkaan positif untuk Federal Reserve (Fed) mengetatkan dasar tidak lama lagi dan ketidakpastian Omicron yang membantutkan pergerakan matawang utama dan dagangan minyak mentah.