US dolar kembali susut ke paras terendah 2 minggu berbanding beberapa mata wang utama lain dalam pasaran selepas penyusutan lebih rendah pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
Pengukuhan awal US dolar pada sesi Eropah semalam gagal dikekalkan sebelum nilainya yang menyusut pada sesi New York.
Situasi tersebut telah membenarkan mata wang Euro untuk melonjak ke paras ketinggian terbaru 2 minggu, sementara Pound Sterling gagal memanfaatkan peluang dengan mempamerkan penurunan yang agak ketara.
Namun, penganalisis tidak menolak pandangan bahawa penurunan US dolar adalah sekadar pembetulan harga selepas corak kenaikan pada bulan lalu. Berbanding Yen, US dolar telah merekodkan kenaikan bulanan terbesar pada Mac untuk tempoh lebih 4 tahun, sekitar 4%.
Mata wang komoditi seperti dolar Australia dan dolar New Zealand turut mencatatkan peningkatan sehingga dagangan bersambung pada sesi Asia pagi ini.
Sementara, dolar Kanada pula ditekan oleh faktor penurunan harga minyak mentah selepas Energy Information Administration (EIA) AS telah meningkatkan unjuran 2021 bagi permintaan minyak global sebanyak 180,000 tong sehari kepada 5.5 juta tong sehari. Untuk 2022, EIA menurunkan unjuran permintaan 180,000 kepada 3.65 juta tong sehari.
Dagangan emas pula menunjukkan prestasi positif minggu ini dengan kenaikan nilai sudah mencapai paras harga $1,745.00 setakat sesi New York semalam.
Perkembangan di Eropah, Ketua Strategi di Agensi Perubatan Eropah menyatakan terdapat hubungan antara vaksin AstraZeneca dan pembekuan darah yang jarang berlaku, tetapi menegaskan bahawa suntikan adalah perlu untuk mengurangkan risiko penularan virus.