Apakah nasib dagangan matawang US dolar menjelang pembukaan sesi New York dan keputusan mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi nanti?
Pada awal sesi Eropah, dagangan dolar greenback dilihat masih tenang dengan bergerak di sekitar paras harga yang sama walaupun hasil perbendaharaan AS 10 tahun memaparkan peningkatan di paras ketinggian satu tahun.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan stabil di sekitar harga 91.90 berbanding sekumpulan matawang utama.
Pergerakan US dolar mencerminkan kewaspadaan pelabur menjelang keputusan Federal Reserve (Fed) yang dijangka akan mengekalkan kadar faedah dan program pembelian bon tidak berubah.
Apa yang menjadikan mesyuarat FOMC bulan ini sangat penting adalah mungkin terdapat pergerakan besar dalam matawang, bon dan ekuiti susulan kenyataan dari Pengerusi Fed, Jerome Powell yang sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa bank pusat tidak akan meningkatkan kadar faedah sehingga sekurang-kurangnya tahun 2023.
Unjuran terbaru bank pusat terhadap pertumbuhan ekonomi, inflasi, pekerjaan dan kadar faedah juga bakal dijadikan petunjuk kepada pelabur. Pada tahap ini, pasaran meramalkan kenaikan kadar faedah lebih awal daripada Fed disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi baru-baru ini.
Powell mungkin akan cuba berusaha untuk meredakan kebimbangan pasaran dengan kenyataan yang lebih optimis terhadap pemulihan yang didorong oleh pelancaran vaksin Covid-19 dan rangsangan fiskal kerajaan.