Harga emas terus menjunam lebih rendah pada hari Jumaat selepas ditekan oleh US dolar yang kuat dan lonjakan dalam hasil perbendaharaan AS.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell sekali lagi menyatakan ketidakbimbangan beliau terhadap peningkatan hasil bon AS baru-baru yang didorong oleh ketakutan terhadap inflasi.
Powell sekali lagi mengulang janjinya untuk terus kekal dengan dasar monetari semasa walaupun terdapat jangkaan tekanan inflasi pada masa akan datang disebabkan pakej rangsangan yang besar untuk menyokong pemulihan ekonomi.
Susulan itu, hasil bon 10 tahun melonjak 4%, mendorong ia meningkat pada 1.55% iaitu paling tinggi dalam tempoh satu tahun.
Pada sesi Asia, logam berharga emas didagangkan lemah di sekitar paras harga $1,693 per auns, iaitu paling rendah sejak Jun 2020.
Sementara niaga hadapan emas pula diniagakan susut pada $1,690 per auns (11.00 pagi waktu Malaysia).
Para pelabur kini menantikan laporan pekerjaan NFP AS bagi bulan Februari yang akan dikeluarkan pada malam ini, yang dijangkakan menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding bacaan sebelum ini.