Harga saham Nestle (Malaysia) mempamerkan lonjakan sebanyak RM1.70 atau 1.27% kepada RM135.60 dan sekali gus tersenarai antara kaunter paling untung pada sesi dagangan di Bursa Malaysia hari ini.
Memasuki waktu rehat tengah hari, harga saham Nestle kekal berada di paras RM135.00.
Lonjakan ini dipengaruhi setelah syarikat itu mengumumkan keuntungan bersihnya pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 meningkat 27.46% kepada RM134.53 juta.
Kadar itu juga telah mencantas keuntungan bersih yang pernah dicapai pada tempoh masa yang sama tahun lalu sekitar RM105.53 juta.
Selain itu, ia dipengaruhi oleh kadar pertumbuhan sebanyak 8.4% dalam perniagaan makanan dan minuman utamanya (F&B) dan pemulihan perniagaan luar (OHH).
Pertumbuhan itu dilihat telah melonjak berbanding dengan penjualan yang sangat rendah pada tahun lalu oleh kerana penutupan yang diperketatkan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.
Nestle juga ada menyatakan bahawa dividen interim 70 sen sesaham akan dibayar pada 7 Oktober 2021 kepada pemegang sahamnya.
Dalam pada itu, kenaikan pendapatan tersebut disokong oleh penurunan cukai dari insentif cukai elaun pelaburan semula bagi kemudahan pembuatan penyelesaian makanan berasaskan tumbuhan baharu.