Firma pelaburan terbesar, JPMorgan telah menyimpulkan Bitcoin (BTC) sedang mengalami fasa sukar untuk mencecah $40,000 dalam masa terdekat ekoran daripada penurunan ketara dalam aliran dana Bitcoin Grayscale.
“Aliran institusi ke dalam Grayscale Bitcoin Trust masih belum cukup kuat untuk membawa Bitcoin tembus di atas $40,000.”
Sekitar sebulan yang lalu, ketika Bitcoin didagangkan di bawah $24,000, pakar strategi JPMorgan telah mengingatkan bahawa penyusutan aliran boleh menyebabkan pembetulan dahsyat dalam pasaran.
Selepas BTC melonjak dan tembus ke paras tertinggi sepanjang masa (ATH) $42,000 pada awal Januari lalu, berlaku pembetulan berturut-turut sehinggalah pada masa penulisan, raja kripto ini didagangkan pada $33,287.
JPMorgan turut mendedahkan penyusutan aliran masuk Graysclae jauh lebih mendadak berbanding Bitcoin dengan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 22% dan 17% pada minggu lalu.
Firma gergasi itu telah membuka semula dananya pada 12 Januari selepas menutup kemasukan pelabur baru pada 21 Disember lalu. Setakat 22 Januari, Grayscale Bitcoin Trust memiliki sebanyak lebih $20 bilion aset di bawah pengurusan (AUM).
Bitcoin juga dilihat bergelut dengan pecutan Ethereum (ETH) yang didorong oleh keuntungan dalam sektor kewangan tidak berpusat (DeFi).
Secara tidak langsung, Ethereum telah berjaya mencatat ATH terbaru, $1,454 pada pagi tadi.