Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan pula di tengahari. Inilah yang terjadi kepada dagangan matawang US dolar yang kembali melonjak pada awal sesi Eropah.
Apa yang tiba-tiba membuatkan raja matawang ini ‘reverse’ semula?
Ye. Anda betul. Ini semua gara-gara lonjakan lebih tinggi dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun ke paras ketinggian terbaru sejak Januari, iaitu pada 1.742%.
Seperti yang diketahui, sejak awal tahun ini matawang US dolar telah meraih sokongan daripada peningkatan drastik hasil bon AS dari sekitar 0.9% sehingga ke ketinggian terbaru hari ini.
Pada sesi sebelum ini, dolar greenback telah susut dengan ketara ekoran kenyataan dovish Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell selepas keputusan mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis.
Kemerosotan US dolar telah memberi peluang buat kebanyakan matawang utama untuk meningkat lebih tinggi, namun, kenaikan tersebut hampir terpadam disebabkan lonjakan semula raja matawang ini.
Euro hampir menghapuskan sebahagian daripada keuntungan yang diraihnya dengan didagangkan di sekitar harga 1.194000 berbanding US dolar.
Sementara itu, penurunan matawang pound dilihat tidak ketara, dengan fokus utama pasaran disasarkan kepada mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada jam 8 malam ini waktu Malaysia.
Gabenor Andrew Bailey sebelum ini memberitahu bahawa bank pusat bersedia untuk meningkatkan pembelian bon kerajaan dan memberi isyarat berhati-hati terhadap pemulihan ekonomi UK. Ini mungkin petunuk terhadap tindakan baru yang akan diambil BOE malam ini.