Matawang sensitif risiko meningkat pada dagangan awal minggu disokong oleh sentimen positif dalam pasaran yang turut memacu kenaikan pasaran saham global dan faktor optimisme dari bank pusat.
Dolar Aussie menyambut baik berita mengenai New South Wales (NSW) dan Victoria yang akan memperincikan rancangan mereka untuk membuka semula ekonomi susulan kadar vaksinasi yang meningkat dengan cepat menghampiri sasaran 70% dan 80% dua dos untuk populasi orang dewasa.
Ini menyokong optimisme bank pusat Australia (RBA) bahawa pertumbuhan ekonomi akan pulih pada suku Disember, setelah penguncupan ketara yang dijangka akan dicatatkan pada suku ketiga.
Sekiranya ekonomi pulih, RBA mungkin dapat mengurangkan pembelian bonnya pada bulan Februari, walaupun masih menegaskan bahawa kenaikan kadar faedah tidak mungkin berlaku sehingga tahun 2024.
Sementara itu, dolar kiwi juga meningkat di tengah jangkaan bahawa bank pusat New Zealand (RBNZ) yang berkemungkinan besar akan mula menaikkan kadar faedah pada mesyuarat polisi Oktober, dan seterusnya pada November.
Jangkaan ini telah memacu hasil bon New Zealand 10 tahun meningkat hampir ke tahap tertinggi tahun ini pada 1.95%.
Selain itu, berita mengenai rangsangan perbelanjaan infrastruktur Amerika Syarikat yang positif turut menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan, terutamanya pasaran saham global dan mengheret safe-haven US dolar lebih rendah pada dagangan awal minggu.