Bitcoin (BTC) terus melonjak ke paras tertinggi dengan rekod terbaru all-time high menghampiri $34,700 semalam.
Sedia maklum pada suku keempat 2020, harga BTC menggila dengan rekod ATH berturut-turut bermula Oktober sehingga penghujung Disember, mencatat rekod atas $20,000 buat kali pertama.
Penganalisis on-chain, Willy Woo menerusi kicauan Twitternya menjelaskan raja matawang kripto itu tidak akan susut di bawah $20,000, melainkan berlaku fenomena black swan seperti mana yang menyebabkan BTC berada di bawah paras sokongan $24,000 kerana krisis kecairan gara-gara COVID-19 pada pertengahan Mac tahun lalu.
Black swan merupakan istilah yang merujuk kepada peristiwa atau insiden yang besar dan tidak terjangka memberi impak ketara ke atas pasaran.
Penganalisis lain, @typerbole memberitahu harga Bitcoin yang meningkat berturut-turut sejak kebelakangan ini mempunyai kaitan dengan faktor halving, dilihat berlaku sebelum lonjakan mendadak.
Misalnya, kitaran terkini berlaku kira-kira 150 hari selepas halving 2020. Berbeza pada lonjakan 2017 yang berlaku pada 250 hari dan 2013 pula sekadar 50 hari selepas halving.
Penganalisis tersebut mendedahkan pelabur runcit dilihat tidak terlibat dalam kitaran lonjakan 2020/2021, menunjukkan kadar minat pelabur runcit masih di bawah rekod 2017 dengan rekod tertinggi dicatatkan pada lonjakan 2013.
Ini menjelaskan peningkatan harga BTC majoritinya didorong oleh pelabur institusi dan whales.
Bagaimanapun, ketika berlaku pembelian besar-besaran oleh pelabur institusi, termasuk aset yang terkunci atau hilang, mentaliti ‘HODLing’ whales dan bekalan pelombong yang tidak dibelanjakan, aset Satoshi Nakamoto dilihat sedang berhadapan dengan krisis kecairan.