Dagangan US dolar merosot ketika sentimen berisiko yang semakin pulih di pasaran kewangan global telah menghapuskan keuntungannya dari pengumuman dasar Federal Reserve (Fed) yang mengisyaratkan pengurangan pembelian bon akan bermula tidak lama lagi.
Sentimen berisiko bertambah baik susulan berita yang mengatakan Evergrande, firma hartanah kedua terbesar di China kemungkinan akan distruktur semula untuk mengelakkan kegagalan.
People’s Bank of China (PBOC) juga telah menyuntik kecairan ke dalam sistem kewangannya ketika Evergrande mengumumkan akan melakukan pembayaran faedah melalui ‘onshore bonds’.
Hal ini telah mendorong kenaikan dalam pasaran minyak dan ekuiti global, dengan hasil bon perbendaharaan AS 10 tahun pula meningkat ke tahap tertinggi sejak Julai pada 1.43%.
Indeks dolar pula gagal mengikuti kenaikan hasil bon dengan menyusut ke paras terendah satu minggu berbanding sekumpulan matawang utama pada 93.08.
Kekecewaan bertambah selepas bacaan data tuntutan pengangguran AS pula menunjukkan kenaikan pada minggu lalu, sekali gus menggoyahkan pandangan pelabur untuk melihat pemulihan dalam sektor pekerjaan yang kuat.
Walaupun telah diperlihatkan dengan bacaan data ekonomi yang menyuramkan dan keputusan polisi Bank of England (BOE) yang tidak berubah, matawang pound tetap meningkat berikutan penyusutan US dolar.
Dagangan euro juga memanfaatkan pemulihan dalam sentimen ini untuk meningkat di atas harga 1.1700 berbanding USD selepas terbenam jatuh ke tahap terendah satu bulan susulan keputusan Fed.
Matawang komoditi turut meraih keuntungan dengan didagangkan lebih tinggi berbanding dolar greenback berikutan sentimen positif dalam pasaran.