Harga minyak didagangkan mendatar pada hari Rabu, dengan dagangan WTI Amerika Syarikat kekal diperdagangkan di sekitar harga $64 setong, dibataskan oleh prospek yang suram terhadap permintaan bahan bakar akibat perlambatan kempen vaksinasi di Eropah.
Menjelang pembukaan sesi Eropah, WTI Amerika Syarikat kembali mendaki dengan diniagakan di sekitar harga $65.22 setong.
Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent pula didagangkan stabil pada $68.75 setong, setelah meraih kenaikan ketika awal sesi.
Pergerakan dalam pasaran minyak mentah terbatas sejak awal minggu ini disebabkan kebimbangan mengenai pelancaran vaksin yang terhenti di kebanyakan negara Eropah kerana isu vaksin AstraZeneca yang disyaki memberi kesan sampingan kepada penerima.
Bagaimanapun, kejatuhan yang tidak dijangka dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat AS kembali menyokong kenaikan dagangan komoditi hitam itu lebih tinggi menjelang sesi Eropah hari ini.
Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan penurunan ketara dalam inventori minyak mentah AS pada minggu lalu, dengan kejatuhan sebanyak 1 juta tong selepas mencatatkan peningkatan 12.8 juta tong pada minggu sebelumnya.