Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Philip Lowe menolak jangkaan pasaran mengenai kenaikan kadar faedah, dengan mengatakan bahawa bank itu tidak mungkin meningkatkannya sehingga sekurang-kurangnya tahun 2024.
Lowe yang berucap di sidang kemuncak perniagaan Australia Financial Review pada awal pagi tadi, turut menjelaskan bahawa walaupun ekonomi berkembang lebih baik dari dijangkakan, tetapi ia bukanlah ukuran untuk bank mempertimbangkan kenaikan kadar faedah.
RBA telah menurunkan kadar faedah ke paras terendah 0.10% pada tahun lalu dan melancarkan program pelonggaran kuantitatif $200 bilion dengan membeli bon kerajaan untuk mengekalkan hasil bon di tahap terendah.
Bagaimanapun, disebabkan jangkaan inflasi global yang meningkat dan tanda-tanda ekonomi Australia berkembang lebih cepat daripada dijangkakan, ia telah mendorong spekulasi pasaran bahawa RBA akan menaikkan kadar faedah pada tahun depan atau awal 2023.
Namun begitu, Gabenor Lowe menolak jangkaan tersebut dengan menyatakan bank pusat ingin melihat inflasi berada di sasaran 2-3% secara berterusan sebelum memutuskan untuk meningkatkan kadar.
Dagangan dolar Aussie kembali susut selepas meraih keuntungan semalaman berbanding US dolar yang susut disebabkan kemerosotan hasil perbendaharaan AS 10 tahun pada sesi New York.
Matawang Asia ini nampaknya tidak terkesan dengan bacaan data inflasi China yang menunjukkan bacaan memberangsangkan pada bulan Februari, di mana dolar kiwi turut mencatat penyusutan pada sesi Asia.