Pertumbuhan ekonomi Kanada kehilangan momentum setelah mencatatkan penguncupan pada suku kedua, mengejutkan pasaran yang pada awalnya menjangkakan peningkatan memberangsangkan.
Menurut Statistik Kanada, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dilaporkan menguncup sebanyak 1.1% pada suku kedua tahun ini, tersasar jauh dari jangkaan untuk meningkat sebanyak 2.5%.
Bagaimanapun pada bulan Jun, ekonomi dilaporkan meningkat 0.7%, melonjak dari penguncupan 0.5% yang disemak semula pada bulan sebelumnya. Ini menjadikan jumlah kegiatan ekonomi hanya 1.5% di bawah tahap pra-pandemik.
Menurut penganalisis, bacaan terbaru ini mungkin tidak bermakna bagi BOC pada pengumuman dasar minggu depan, tetapi boleh mempengaruhi mesyuarat polisi berikutnya pada bulan Oktober.
Bank pusat sebelum ini meramalkan pertumbuhan yang lebih kuat sebanyak 2.0% dalam KDNK pada suku kedua.
Bank pusat akan mengemas kini ramalan ekonominya pada bulan depan, termasuk penilaiannya terhadap dasar semasa. Ia telah berjanji untuk mengekalkan kadar faedah sehingga kemajuan dibuat, yang mana dijangka akan berlaku pada separuh kedua 2022 berdasarkan unjuran terbarunya.
Dolar Kanada diniagakan sedikit berubah pada awal sesi Eropah, diniagakan sekitar harga 1.2585 berbanding US dolar.