Harga minyak mencatatkan kejatuhan terbesar dalam tempoh hampir satu bulan pada hari Jumaat, yang menyaksikan WTI Amerika jatuh ke bawah paras harga $60 setong, susut dari tahap tertinggi 13 bulan yang dicapai semalam.
Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat susut ketara hampir 3% pada $58.89 setong, memanjangkan penyusutan 1% pada hari Khamis.
Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent pula merosot hampir 2% kepada $62.44 setong, setelah turun 0.6% pada sesi sebelum ini.
Kedua-dua kontrak penanda aras meningkat ke paras tertinggi 13 bulan pada hari Khamis disebabkan oleh penutupan kilang minyak di negeri-negeri yang terkesan akibat cuaca sejuk melampau sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Bagaimanapun, pengeluaran minyak di Texas dijangka akan disambung semula selepas bekalan elektrik dilaporkan telah kembali pulih.
Apa yang menjadi kebimbangan pasaran adalah, kekurangan permintaan dari kilang penyulingan mungkin akan menyebabkan peningkatan bekalan minyak mentah dalam beberapa minggu akan datang, walaupun sekitar 3.5 juta tong sehari pengeluaran minyak AS dihentikan.
Sementara itu, data terbaru dari Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan bahawa inventori minyak mentah AS jatuh sebanyak 7.3 juta tong pada minggu lalu, iaitu paling rendah sejak Mac. Namun bacaan data memberangsangkan ini gagal menarik kenaikan semula harga minyak.