Raja matawang US dolar kekal didagangkan di bawah tekanan, jauh di belakang pesaing utamanya, selepas diperlihatkan dengan bacaan inflasi Amerika Syarikat yang masih lemah pada bulan Januari.
Kadar inflasi menepati jangkaan pasaran untuk meningkat 0.3% pada bulan lalu, sedikit susut dari 0.4% yang dicatatkan sebelumnya. Sementara inflasi teras pula adalah sifar berbanding jangkaan untuk kenaikan 0.2%.
Selain data inflasi, pasaran turut meneliti ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang mengulangi komitmennya untuk mengekalkan kadar faedah yang rendah memandangkan sasaran untuk pekerjaan yang kuat masih jauh.
Berbanding sekumpulan matawang utama, dolar greenback diniagakan lemah di sekitar paras terendah dua minggu pada 90.44.
Kelemahan US dolar terus memberi manfaat buat dagangan euro untuk kekal mengukuh di atas paras harga 1.21000.
Dolar Aussie sedikit susut di bawah paras tertinggi dua minggu yang dicapainya semalam, sementara dolar kiwi pula didagangkan stabil.
Matawang pound mengurangkan sedikit keuntungan pada sesi Asia selepas mencecah paras ketinggian terbaru pada 1.3865 iaitu tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun pada sesi sebelum ini.
Pergerakan dagangan sesi Asia dilihat perlahan berikutan cuti Tahun Baru China yang telah bermula, menyebabkan pelabur jauh dari pasaran.