Kesatuan Eropah (EU) dan UK cuba untuk meredakan ketegangan mengenai isu vaksin coronavirus walaupun terdapat pegawai tinggi Brussels yang menuduh Britain sebagai ‘nasionalisme vaksin’ dalam tindak balas terhadap pandemik.
Britain dan Suruhanjaya Eropah mengeluarkan pernyataan bersama yang mengatakan telah ada perbincangan untuk mengembangkan hubungan saling menguntungkan untuk mengatasi Covid-19.
Kenyataan tersebut mengikat kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam mewujudkan situasi menang-menang dan memperluaskan bekalan vaksin untuk semua rakyat di Eropah.
Perdana Menteri UK, Boris Johnson menegaskan bahawa beliau tidak mahu melihat perang vaksin.
Sehubungan itu, para pemimpin EU dilaporkan akan berbincang mengenai cara untuk meningkatkan bekalan dan vaksinasi ke seluruh Eropah pada hari ini.
Terdahulu, EU telah mengancam untuk menyekat eksport vaksin ke negara-negara seperti Britain yang mempunyai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.
Tujuannya adalah untuk melindungi bekalan bagi penduduk Eropah yang kini dilanda gelombang ketiga wabak Covid-19.